Saturday, April 02, 2011

997 ~ Fadhilat Zikir... (1)


Ingin akak kongsikan disini antara Fadhilat Zikir yang selama ini akak pernah dengar tapi tidak mengambil perhatian... Bila Ustazah Hajjah Aslina memberitahu Fadhilatnya, akak mencari lagi Fadhilat yang akan membuatkan akak menjadi lebih Istiqomah (tetap mengamalkannya). Usia pun sudah semakin meningkat maka amalan pun harus ditingkatkan. Tak boleh lagi akak nak buat lebih kurang.

Petikan dari Kitab Fadhilat Amal Bab Pertama

Kelebihan Zikir.

Andai kata tidak terdapat mana-mana ayat atau hadis yang menyebut tentang zikrullah, namun tidak sepatutnya seseorang hamba Allah itu lalai daripada mengingati Allah Taala pemberi nikmat yang hakiki pada bila-bila masa pun kerana pada setiap saat, kenikmatan dan kurniaan daripada Allah Zat Yang Maha Suci begitu banyak dan tidak kesudahan serta tidak ada bandingan seumpama itu. Oleh itu, mengingati, menyebut, mensyukuri dan mengakui kebaikan pemberi nikmat yang sedemikian adalah suatu perkara yang terdapat dalam naluri diri manusia itu sendiri.

Daripada Surah Al-Baqarah : 152

" Maka oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu mengkufuri (nikmatku)."

Antara Fadhilat Zikir :

1. Zikir menjauhkan syaitan dan menghancurkan kekuatannya.

2. Zikir menyebabkan keredaan Allah swt.

3. Zikir manjauhkan dukacita dan kerisauan daripada hati.

4. Zikir menenangkan dan menggembirakan hati.

5. Zikir menguatkan hati dan badan.

6. Zikir menyebabkan hati dan wajah bercahaya.

7. Zikir menarik rezeki.

8. Orang yang berzikir diberi kehebatan dan kemanisan yakni orang yang memandangnya akan merasakan kehebatannya dan dikurniakan kemanisan.

9. Zikir melahirkan cinta terhadap Allah swt dan cinta merupakan roh Islam, sumber agama, kebahagiaan dan kejayaan. Sesiapa yang ingin mendapatkan cinta Allah maka hendaklah dia berzikir sebanyak-banyaknya. Sebagaimana membaca dan muzakarah merupakan pintu ilmu, demikianlah zikrullah merupakan pintu cinta akan Allah.

10. Zikir mendatangkan hakikat muraqabah yang membawa seseorang kepada martabat ihsan. Martabat Ihsan inilah yang menyebabkan seseorang itu beribadat dalam keadaan seolah- olah dia melihat Allah.

11. Zikir membawa seseorang kembali kepada Allah. Sedikit demi sedikit Allah swt menjadi pelindung dan pembantu dalam setiap keadaannya. Dalam menghadapi setiap musibah perhatiannya akan tertumpu hanya kepada Allah swt.

12. Zikir menghampirkan seseorang kepada Allah swt. Sebanyak mana seseorang itu berzikir makan sebanyak itulah dia akan hampir kepada Allah swt. Sebaliknya sebanyak mana seseorang itu lali daripada zikrullah maka sebanyak itulah dia jauh daripada Allah swt.

13. Zikir membuka pintu makrifatullah.

14. Zikir melahirkan keagungan dan kehebatan Allah swt di dalam hati. Zikir melahirkan tumpuan di dalam hati agar sentiasa ingat kepada Allah swt.

15. Orang yang berzikir disebut oleh Allah swt di majlisNya, sebagaimana firman Allah swt dalam Al-Quran, " Ingatlah kamu kepadaKu, maka aku akan ingatimu." Juga diterangkan dalam hadis, " Sesiapa mengingati Aku di dalam hatinya, maka Aku mengingatinya di dalam hatiKu."

16. Zikir menghidupkan hati. Hafiz Ibnu Taimiyyah rah. berkata bahawa zikrullah bagi hati adalah seumpama air bagi ikan. Cuba fikirkan keadaan ikan sekiranya tanpa air.

17. Zikir adalah makanan bagi roh dan hati. Jika kedua-dua ini tidak mendapat makanan maka adalah sama seperti badan yang tidak mendapat makanan.

18. Zikir membersihkan karat daripada hati sepertimana diterangkan dalam hadis bahawa setiap sesuatu ada karat dan kekotoran yang tersendiri. Karat dan kekotoran hati ialah keinginan nafsu dan kelalaian yang hanya akan dapat dibersihkan melalui zikir.

19. Zikir menjauhkan daripada dosa dan maksiat.

20. Zikir menghapuskan sifat keraguan daripada seseorang terhadap Allah swt. Sebenarnya hati orang yang lalai itu diselubungi oleh sifat-sifat keraguan terhadap Allah swt. Sifat ini dapat dihapuskan hanya melalui zikrullah.

21. Ucapan zikir yang dilafazkan oleh seseorang hamba itu akan menyebut-nyebut hamba itu di keempat-empat penjuru 'Arasy Ilahi'.

22. Sesiapa yang mengingati Allah swt dalam kesenangan, Allah swt akan mengingatinya ketika dia dalam kesusahan.

23. Zikir menyelamatkan seseorang itu daripada azab Allah swt.

24. Zikir menyebabkan turunnya rahmat dan sakinah. Para malaikat mengelilingi orang-orang yang berzikir itu.

25. Dengan keberkatan zikrullah, lidah terselamat daripada mengumpat, mencela, berdusta dan percakapan yang sia-sia. Pengalaman dan kenyataan telah membuktikan bahawa sesiapa yang membiasakan lidahnya dengan berzikir maka secara umumnya terpelihara daripada perkara-perkara tersebut. Sebaliknya orang yang tidak membiasakan lidahnya dengan zikrullah maka dia akan terlibat dalam segala jenis perbuatan yang sia-sia.

( Akan disambung lagi, Insya'Allah ).

4 comments:

  1. memang teramat banyak fadhilatnya. walaupun senang nak amal tapi akan sentiasa menjadi lupa untuk dibiasakan. yang baik itu sebenarnya mudah, musuh yang membuat lupa dan rasa berat dan susah.

    lupa nak ambil makanan buat ruh sebab tu ruh sakit dan akhirnya mati. guru saya kata ramai sekarang 'mayat hidup.' yang hidup jasad tapi hati dah mati

    ReplyDelete
  2. madora...
    Alhamdulillah... apa yg baik kita kongsi buat pedoman kita....
    Muga hati kita tidak dibiarkan hingga mati sewaktu kita masih bernafas...Insya'Allah..
    Jom berjiran disana...

    ReplyDelete
  3. pB....
    jom kita bina mahligai kita disana....
    insya'allah...

    ReplyDelete

Jemputlah Komen barang Sepatah Dua Kata