Monday, October 29, 2012

451 ~ Siapa JPJ?


Hari ini selesai dialysis akak perlu menjemput suami yang menghantar keretanya ke Spanco. Olehkerana memang akak yang memandu dari hospital, di Spanco suami duduk di bahagian penumpang hadapan. 

Suami : Kenapa perlahan sangat kat lane laju?

Isteri : Senyum jer.... (dalam liver - memang macam ni ler kalau kereta tak banyak....)

Suami : Kenapa masa bulatan pegang stering sebelah tangan jer?

Isteri : Senyum jer... ( dalam liver - tiap2 hari macamnilah bila lalu sini..... Ok jer...)

Suami : Kenapa tak bagi signal nak ke kiri?

Isteri : Senyum lagi... ( dalam liver - tak da kereta belah kiri.... Ok lah tu.... jimat bateri sikit...)

Suami : Kenapa ikut jauh nak pergi sekolah Qeeb?

Isteri : Yang.... inilah jalan orang biasa ambil Qeeb. Takyah nak belok-belok sebab orang dah mengadap balik kerumah siang-siang....

Suami : Kalau berhenti macamni lainkali.... tekan handbrake.... nanti rosak gear sebab gear kat P...

Isteri : Yang, Yanglah bawak kereta ni..... Tadi Orang balik BP Orang okay jer... takut duduk sebelah JPJ ni BP Orang naik pulak....


(pegawai JPJ yang sangat garang)




Selesai makan,
Akak terus tunggu di kereta. Start engine, terus duduk di sebelah pemandu.
Ooooooooo......
Wa sayang wa punya BP ooooo.....


( Lauk A.Hassan Ayam Kampong memang sedap hari ni... ambil gulai udang galah, taugeh goreng, pucuk paku goreng dan sambal belacan...)


Sunday, October 28, 2012

450 ~ Raya Haji Tahun Ini....



Raya Aidil Adha Tahun ini jatuh pada hari jumaat. Akak tidak menumpang dialysis di Hospital Melaka sebaliknya dialysis di opis sendiri... Meriah dengan 'sedara mara' kita sendiri....

Lihat 'mak sedara' Puan Loo yang berbaju kurung.... sweet kan. Pagi2 dia dah ucapkan selamat hari raya ..
'Kakak sedara' lagi sorang yang berbaju merah tu seperti biasa belikan paper.... 




Selesai dialysis kami balik ke Pernu, Melaka. Esoknya ada majlis Qurban untuk keluarga kami.

Hari sabtu... acara melapah daging melibatkan saudara mara sahaja.
( Kebanyakan kenalan yang dijemput mempunyai agenda mereka sendiri... Mujur ramai sedara mara.. taklah rasa sangat..)

Pak Long dan anak sedara Pak Long yang sangat rajin....
Umar walaupun baru tingkatan satu, amat rajin membantu..




Acara memasak di ketuai oleh Kak Noi.. sepupu kami yang memang pakar masak...




Kedua Biras, Adik ipar dan sepupu turut membantu.



Selain dari Daging Masak Asam.. hati juga digoreng sebagai lauk tambahan.
Gulai Nangka masak lemak dan ikan masin turut dimasak bersama...




Kemana saja Umar sangat rajin membantu.
Memang bertuahnya kedua ibu dan bapa Umar.



Anak sedara yang turut sama membantu.



Selesai melapah dan memotong... acara makan beramai-ramai pula...
memang berselera bila makan begini...
Alhamdulillah..











Balik ke Bangi pagi ini kelihatan jalan agak sesak.
Kami ambil keputusan keluar ke tol Seremban/Port Dickson dan masuk ke bandar Seremban untuk ambil Highway Lekas.




Banyak lega walaupun jalan dari Tol Seremban nak kesini agak mengelirukan...





Ada pula kereta yang dipandu laju dan terbalik di Highway Lekas.
( Maybe pemandunya seronok lihatkan highway ni lengang dan selesa dipandu...)



Alhamdulillah... dah ada jalan alternatif begini memudahkan perjalanan...
Syukur Alhamdulillah... selamat tiba rumah....

Thursday, October 25, 2012

449 ~ Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha..


Sekali lagi kita menyambut Hari Raya Aidil Adha 2012

Di kesempatan ini akak mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Alhamdulilllah.. pernah beraya di Padang Arafah... pernah beraya di Mina.. pernah beraya sendiri di Pulau Pinang... pernah FIL dan MIL beraya dengan kami di Pulau Pinang dan pernah juga beraya di Hanoi, Vietnam.

Tahun ini kami beraya di rumah terlebih dahulu kerana paginya akak akan ke opis... selesai di opis balik rumah dan kemudian balik Melaka.

Asalnya tak terpikir nak masak apa-apa pun. Mengenangkan budak yang berselera makan ni, akak pun buat rendang ayam dan kuah kacang. Berbuka petang tadi kami berbuka dengan nasi impit dan lemang. Alhamdulillah... walaupun puasa... cukup rasa asam dan garamnya.




Sekali ambil 3 ketul peha ayam...
kemudian tambah lagi...
memang budak ayam ni...

Bila lihat Aisyah menikmati makanan, hilang segala rasa penat ibunya...
ALHAMDULILLAH.



Wednesday, October 24, 2012

448 ~ Baru ku tahu..... Mujur diberitahu...




Pengumuman.

Gamat telah meninggalkan kami pada waktu maghrib 23hb October 2012. Selesai 
menyusu petang tadi dia terus tertidur dan terus tidak bangun-bangun. Perbincangan dengan SIL yang seorang doktor haiwan mungkin Gamat menghidap penyakit yang tidak diketahui puncanya. Maka sebab itu ibunya tidak memperdulikannya. 

Hari ini Rabu balik dari dialysis, PPK Balan bertanyakan apakah yang akak makan baru-baru ini. Puas mengingatkan. Rasanya tidaklah ada yang berlemak-lemak sangat. Akhirnya baru teringat malam isnin baru ni, akak telah makan Capati dan Keema kambing. Rupanya Keema kambing tersebut telah menjadi lemak tepu dalam darah kemudian apabila dicuci dengan mesin dialysis, lemak tepu itu tersangkut pada dialyser.




Inilah rupanya lemak yang terkandung dalam dialyser akak hari ini. Mujur darah tak tersumbat. Jika tidak memang kena berhenti dialysis.

(Nampak yang kuning/putih tu? itulah lemak...)




Berusaha PPK Balan menunjukkan yang mana satu sewaktu akak nak mengambil gambar...




Menurut kata PPK Balan, jika makan kari yang menggunakan minyak sapi.. juga boleh menjadikan dialyser tersumbat dengan lemak begitu.

( Terpikir juga bagi yang makan lemak2 daging... begitulah lemak yang tersangkut di salur darah kejantung.)

Menakutkan...kan?.....


Kari Dhal Tulang yang akak masak baru ini menggunakan minyak sapi..



Tuesday, October 23, 2012

447 ~ Pekena jangan tak pekena.....


Di Bandar Baru Bangi... 3 kedai Froyo berada di lokasi yang berdekatan. Jika teringin pilih saja yang mana satu kena pada selera... (Rasanya sama saja... maybe campuran dan rasa yang ada pada sesuatu jenama itu yang berbeza..)

Konsep kedainya santai dan lepak-lepak. Kegemaran anak-anak muda.
(Ibubapa yang turut serta kerana dipujuk anak...)



Harganya pun lebihkurang saja..
Setakat ini Tutti Fruitti yang paling akak suka.
Perisa Red Velvet dan Tutti Fruitti yang selalu menjadi pilihan akak.
Tak kisahlah...
Tepuk selera..tanya poket... kan???



Hari jumaat baru ini dalam keadaan hujan yang lebat... kami redah hujan dan ribut kerana Qeeb nak sangat makan Snogurt.
Kami dibelanja dengan generousnya oleh kakak Zahrah.
Terima kaseh kak Zahrah....

##pssst Qeeb.... lepas ni giliran Qeeb belanja di kedai froyo lagi satu... Orait???

Monday, October 22, 2012

446 ~ GAMAT...






Nampak bukan main lena lagi...
Anak kucing ni namanya Gamat. Kisah dia ada diceritakan baru ni. Kakinya bisul... bila bisul pecah, sapukan ubat gamat...  luka bisulnya baik dan kering... so namanya gamat.

Kami lihat berbanding dengan adik beradiknya yang lain.. yang ini mmg selalu kena tinggal dengan ibunya. Bila ibunya pindah.. anak2 lain di angkutnya sama... yang ini pula ditinggalkannya. kesiannnnn.... badannya kurus kecik jer... Akhirnya Qeeb belikan susu kambing untuk disuap pada Gamat. Gamat memang suka dan menunggu2 bila qeeb suapkan. Suka tengokkan... berebut2.. Bila dah kenyang, dia pun terlelap. Qeeb siap bedongkan macam tu dan Gamat pun lena tidurnya.

Sunday, October 21, 2012

445 ~ Surat Perjanjian ke Legoland...




Kebelakangan ini Aisyah selalu meminta abahnya membawanya ke Legoland. Memandangkan cuti sekolah hampir tidak berapa lama lagi, abahnya sering menangguhkan permintaannya. Antara alasan yang diberikan ialah peperiksaan akhir tahun belum diketahui keputusannya. Jika sekiranya Aisyah berjaya mendapat semua A, baharulah kami akan membawanya ke Legoland. 

Aisyah tidak pernah dapat menerima penangguhan ataupun kata tidak jika ada sesesuatu permintaannya ditolak. Dia tetap akan berusaha sehinggalah dia berjaya mendapat apa yg dihajatinya... (Adakah kerana Aisyah berzodiak Ketam?... Harap kekanda Som dapat memberikan jawapan.)

Antara usaha Aisyah memujuk abahnya ialah Aisyah akan menulis surat kepada cikgunya meminta dipercepatkan keputusan periksa akhir tahunnya. Setelah alasan itupun tidak berjaya ( kami bgtau mungkin cikgunya lansung tak akan melayan suratnya..) dia telah menulis surat perjanjian untuk ke Legoland. 

Jom kita curi2 baca surat perjanjian Aisyah :-




Isi kandungan surat perjanjian ke Legoland daripada Aisyah Sakinah kepada abahnya...

Hey Abah are you sure we are going Legoland or not? him i see you want or not we can have some a lot of fun. Yeah Yeah.. 
Oh i also forgot if we go to the legoland we also can have some lego toys. This is a last one okey
I mean this is a last toys okay?
Good now this something sign your name okay?
Good now lets start the fun okey? Good.
( komen ibu Aisyah.. bahasa memang tunggang langgang... tapi Aisyah tetap memberi janji...)



Sign your name Abdul Kahar 
( komen ibu Aisyah... siap minta abahnya sign perjanjian ni...)





Ini adalah satu cara Aisyah nak memujuk abahnya membawanya ke Legoland...
Jika ada entry akak ke Legoland sewaktu musim cuti sekolah ini, bermakna perjanjian ni telah pun dimeterai...

Thursday, October 18, 2012

444 ~ Kerana mimpi....




 2 malam lepas akak bermimpi dijamu dengan Kari Dhal dan dimakan dengan roti canai... Teringat2 sehingga bangun paginya. 

Melalui laman Fb akak bertanya dengan kenkawan bagaimana caranya nak masak Kari Dhal yang sedap kerana sebagaimana kenkawan sedia maklum... akak ni kan Minang... Minang hanya pandai masak Lomak cili api dan berkahwin dengan orang Melaka yang hanya makan Masak Asam.... Hahahahahaha... Mencarilah kesana dan kemari resepi masak Kari Dhal Tulang Lembu.

Akhirnya untuk berbuka petang ini akak telah berjaya memasak Kari Dhal Tulang...
ALHAMDULILLAH.. semuanya memuji sedapppp...

(nampak meriah betul daun karinya, bibik tanam dan daun kari tu subur sangat... dia teruja ambil banyak2 kerana katanya kita bukan selalu masak kari... Daun kunyit pun meriah di tanam oleh bibik...)





Di makan dengan Roti Paratha segera...
( Bibik masak agak mentah... selepas berbuka akak masak semula menggunakan minyak sapi...
Wow!!! memang terangkat.....)




ALHAMDULILLAH...

443 ~ Bersemangat...





Sejak beberapa bulan kebelakangan ini selera makan akak memang sangat-sangat meningkat... Makan apa pun selalunya sedap sahaja. Dry weight yang asalnya 63kg telah meningkat tanpa pengawasan doktor. Kebanyakan seluar dan baju sudah ketat-ketat... Hahahahaha petanda yang tak boleh nak dinafikan bila seluar dah tak boleh nak kancing dan baju tidak boleh nak di butang atau di zip...

Tiapkali datang dialysis berat meningkat mendadak. Sehingga pernah 70kg. Menakutkan..OK...

Sedikit demi sedikit akak cuba kurangkan dengan menarik air tiapkali dialysis dalam jumlah yang banyak. Lantaran itu setiapkali selesai dialysis akak menjadi penat, pening dan tidak selesa. Tapi hanya itu sahaja cara untuk menjaga BP agar tidak mencanak naik.

Sekarang akak dah berazam.. Azam dengan sesungguh azam. Setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad akak Harus Puasa... Wajib apabila setiap Khamis, Sabtu atau Ahad. 4 hari Harus.... 2 hari Wajib....

Akak kena tanamkan dalam minda bahawa... semua makanan yang sedap2 dah akak rasa... cukup2lah... tak perlu lagi nak membahayakan nyawa dan jantung dengan makan-makan-makan-makan-makan sahaja. Balik semalam dapat 65.7kg. Harap2nya tidak meningkat sehingga 70kg lagi.

Dengan berpuasa, akak boleh kawal pengambilan air. Jika tak puasa.. kekuatan nak melawan nafsu daripada minum berlebihan lebih dari had yang dibenarkan iaitu 500ml adalah sangat tipis. Dengan mudah sahaja akak dapat menghabiskan limit (500ml) minum pada waktu tengahari. Dari tengahari nak menyampaikan ke malam????? Panjang lagi tu... memang akan terbabas minum dekat 1-1.5liter air.... itu yang buat berat bertambah-tambah.

Kena kuat...
kena tabah...
kena tanamkan azam nak kurangkan air....

PUASA adalah sebaik-baik penyelesaian.

sayang..
terima kaseh menemankan saya bersahur dan berpuasa...
LUEM

Tuesday, October 16, 2012

442 ~ Dari Serawak...



Bila ada kenkawan yang balik dari Serawak, tentu kami dapat habuannya. Telur ikan terubuk masin dan ikan terubuk masin adalah yang selalu diberi. Akak pernah ke Serawak. Akak dibawa oleh pemandu teksi ke kedai ubat Sing Seh di bandar Kuching untuk mebeli telur ikan terubuk. Pertama kali kesana tidak tahu dimana hendak membeli telor ikan terubuk, memang kena sembelih dengan harga yang melampau tingginya. Rupanya jika ingin telur ikan terubuk sebaiknya beli di Pasar Satok. Harga di sana jauh lebih murah dari kedai Sing Seh.






Antara yang mudah didapati di Serawak ialah Pucuk Midin.
Pucuk midin adalah seperti pucuk paku yang ditanam dikawasan tanah tinggi di Serawak.
Cara memasak yang paling sesuai ialah goreng dengan cili dan belacan.
Akak cuba buat masak lemak dengan udang, rasanya kurang agak sesuai.





Monday, October 15, 2012

441 ~ Mentadak-mentadu...



Siapa pernah main mentadak mentadu?

Pegang mentadak.. tanya dia...

" Mentadak mentadu... macam mana ......(nama orang yg kita kenal) tidur??"

" Mentadak mentadu.. macammana Aisyah tidur?"

Nanti mentadak akan  buat posisi Aisyah tidur... memang best... tiap kali tanya tiap kali dia berubah posisi...

Masa kecik2 dulu takda DS Gameboy atau PStation.... inilah permainan akak.... itupun dah cukup menghiburkan...

Selalu main dengan arwah mak. Bila mentadak mentadu buat posisi yang kelakar.. mak ketawakan.. mulalah jadi marah sebab malu ... 

Rindu saat dahulu...






Sunday, October 14, 2012

440 ~ Percutian sehari semalam kami di PD.


Pagi Sabtu 13hb Oktober...

Sewaktu keluar dari rumah jam 900pagi, langit dah nampak gelap. Tanda-tanda hari akan hujan... Akak teruskan perjalanan untuk bertemu dengan kenkawan di R&R Seremban. Perjalanan keluar menuju R&R Seremban disertai dengan hujan pagi yang sangat lebat.




Selepas bertemu dengan teman.. kami teruskan perjalanan ke Port Dickson. Terdapat kemalangan yang menyebabkan kesesakan di KM264.5 dan perjalanan agak terganggu sedikit.




Tiba di tol Senawang/Port Dickson jalan sudah mulai selesa dan lancar.




Sementara menantikan 2 orang lagi teman kami, kami membuka bekalan makanan sarapan pagi kami di tepi pantai batu 4, Port Dickson. Kami membawa makanan seorang sedikit dan mula mengisi perut yang dah berbunyi.




Nasi Lemak terbaek dari sahabat kami Puan Salmi Manja.
Nasi Lemak kukus... Akak mengadap sampai 2 bungkus...




Menanti waktu check-in sempatlah kami berposing di ruang lobby Lexis Hotel.





Kami menempah 3 bilik dan setiap 4 orang menginap di sebuah bilik.





Suasana yang sangat nyaman dengan tiupan angin laut setelah pagi tadi kehujanan.




Hari Ahad sebelum pulang, kami berkumpul makan tengahari di Pantai Telok Kemang.
Gerai makanan yang kami singgah ini lauknya memang sedap-sedap bagai lauk yang kita masak di rumah.




Pssttt: Malam tadi ada sessi melalak menghibur hati.
Kecohnya dengan gelagat geng kami. Jadi kenangan sepanjang hayat.




Gambar tambahan khas buat Cikgu Hani:-

Sempat posing lagi...
tunggu orang check out pukul 100pm, barulah kami dapat masuk bilik...


Naik buggy ke bilik penginapan..




Yang ini yg tak boleh lupa...
kenkawan yang sporting habis... mengantuk tapi tetaplah ikut kami ke sessi Karaoke... lepas tu kena dera jalan tepi pantai... kikikikiki...
( Luv u alls...)



Lauk ni memang Da best...
Macam makcik kesayangan kita masak jika kita sesekali balik kampong - peribahasa baharu.





Percutian kami ini akan  diulangi lagi dalam masa terdekat. Insya'ALLAH.

Saturday, October 13, 2012

439 ~ Bercutiiiii..................



Pagi ini kami akan berkumpul di R & R Seremban. Kemudian kami akan bertolak ke PD.

Pertemuan selama sehari semalam yang pertama kali diadakan oleh teman-teman sekolah yang sebaya.

Akan upload gambar kemudian...

Thursday, October 11, 2012

438 ~ Pemerhati sejak kecik dulu...







Perangai yang masih kekal sejak kecil yang ada pada akak ialah memerhatikan orang makan. Suka lihat cara depa makan dan mengunyah makanan.

Waktu sekolah rendah, balik sekolah memang akak kena tunggu bas di Chow Kit Road. Ada deretan kedai cina di sebelah Keramat Supermarket. Ada sebuah kedai dobi cina ini di diami sekeluarga. Selalunya tepat pukul 1 tenghari mereka akan mula buka meja di tengah ruang kedai dobi tersebut, susun bangku-bangku (stool) dan mula letakkan makanan di meja makan. Akak memang tak pernah lepas peluang mengintai dari cermin kedai dobi tersebut, Suka lihat cara bapa mereka duduk angkat kaki atas stool, ambil makanan menggunakan chop stick. Anak-anak dan isterinya berebut2 sama menyuapkan makanan.

Nasi dimasukkan dalam mangkuk. Kemudian masing2 dengan menggunakan Chop stick mencekut lauk-lauk dalam mangkuk di hadapan mereka... Mangkuk tu diangkat dekat dengan mulut... Slurrppp... slurrp... kedengaran bunyi mereka makan.

Akak pun sebaik tiba dirumah, mencari batang pokok lemuni... kikis-kikis... tinggal batang dalam yg putih tu... Mintak mak masak mee hoon sup... mulalah makan macam cina tu... berselera... Sebab apa minta mee hoon? Sebab tak pandai makan nasi guna penyepit. Mee hoon senang nak sepit...heh heh heh...

Uncle yg punya gambar akak curi di atas tu sedang makan mee goreng. Dia gunakan penyepit pakai buang jer tu... memang ralit akak tengokkan... sekarang dah tak payah dah nak patahkan dahan pokok nak dijadikan penyepit. Semua sudah dijual dengan mudah. Ada jenis besi dan ada jenis plastik. Semua itu ada dibeli oleh Qeeb. Mana tumpahnya kuah, jika tidak dalam mangkuk dan dimakan dengan penyepit kan?